Followers

Search This Blog

Monday, March 1, 2010

Temu duga berkesan

ANDA telah berjaya melepasi halangan pertama apabila resume hebat anda membuatkan sebuah syarikat tertarik untuk mengambil anda bekerja. Bagaimanapun langkah seterusnya yang perlu anda hadapi ialah sesi temu duga.

Tidak kira sama ada ia merupakan pekerjaan pertama atau anda telah menghadapi sesi temu duga untuk kali ke-10, adalah penting bagi setiap pemohon bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi sesi temu duga.

Temu duga dalam pekerjaan adalah penting bagi sesebuah syarikat. Berpandukan resume yang berkesan, majikan akan mengenali pemohon dengan lebih dekat melalui sesi temu duga yang dijalankan.

Ada sesetengah syarikat yang melakukan sesi temu duga lebih daripada sekali. Temu duga yang dijalankan bukan sahaja melalui interaksi tetapi juga ujian atau pembentangan.


1. Pakaian seperti anda ingin bekerja

Ada sesetengah syarikat yang tidak mengkehendaki pemohon untuk berpakaian terlalu formal ketika sesi temu duga dijalankan. Memadai sahaja dengan berpakaian kemas dan tidak menjolok mata. Jangan sesekali memakai seluar jean, memakai baju T yang terlalu buruk dan tidak bersikat rapi.

Kebanyakan penemu duga lebih senang melihat pemohon memakai pakaian kemas seperti kemeja dan berseluar slack. Bagi wanita pula, anda disarankan tidak mengenakan pakaian yang terlalu nipis atau seksi, memakai terlalu banyak aksesori dan bersolek terlalu tebal.

2. Buat kajian

Pastikan sebelum menghadiri temu duga anda meluangkan sedikit masa membuat kajian mengenai syarikat tersebut. Selain itu, pastikan anda tahu tugas-tugas yang diperlukan bagi jawatan yang dipohon. Ia memberi bonus kepada anda kerana mempunyai sikap ingin tahu yang begitu mendalam terhadap syarikat dan pekerjaan yang ingin dipohon.

3. Jangan lambat

Jangan lambat menghadiri sesi temu duga. Ia adalah antara perkara paling dilarang berlaku semasa sesi temu duga. Kejadian itu akan memberi kesan terhadap pandangan majikan terhadap anda walaupun anda memberi alasan tersesat atau kesesakan lalu lintas. Jika majikan mula merasa benci, kebarangkalian untuk anda memperoleh pekerjaan tersebut adalah tipis.

4. Tanya soalan

Tidak semestinya majikan sahaja yang mengutarakan soalan. Anda juga boleh bersiap sedia dengan soalan-soalan anda. Ia merupakan idea yang bagus jika anda juga bertanyakan soalan. Kenapa begitu? Ini kerana, ia menunjukkan yang anda bersungguh-sungguh menginginkan jawatan tersebut. Namun apakah soalan-soalan yang sesuai untuk ditanya kepada majikan?

*Adakah syarikat ini memberi peluang kepada saya untuk belajar kemahiran-kemahiran baru lain daripada jawatan yang dipohon?

*Adakah sebarang persoalan yang bermain di fikiran tuan untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri saya?

*Adakah saya akan dilatih terlebih dahulu untuk memahirkan diri dalam jawatan tersebut?

*Apakah perkara yang paling penting perlu saya tahu mengenai jawatan ini?

5. Ucap terima kasih

Jangan kedekut untuk mengucapkan terima kasih kepada majikan sebelum dan selepas temu duga. Apabila anda melangkah masuk ke pintu majikan, ucapkan terima kasih apabila disuruh duduk.

Sebelum anda melangkah keluar pula, ucapkan sekali lagi terima kasih kerana kerjasama yang mereka berikan.

Namun ingat, jangan terlalu banyak mengucapkan perkataan terima kasih kerana ia boleh disalahtafsir oleh majikan sebagai terlalu mengampu atau hipokrit.

1 comment:

  1. great tips..sy rs mcm nak guna je tips ni tempek dkt blog..i will put my credit goes to u..thanks yer

    ReplyDelete