Followers

Search This Blog

Sunday, February 28, 2010

Kisah raja perempuan Kelantan




"SAYA tak kenal Cik Siti Wan Kembang tapi semangatnya ada dalam diri saya," kata Yang Dipertua Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kelantan, Aishah Mahmood, saat diajak berbicara tentang Cik Siti Wan Kembang yang sangat sinonim dengan negeri Kelantan.

Aishah, 61, yang merupakan usahawan laut dalam wanita pertama negara menyedari ada sedikit signifikan antara dirinya dengan Cik Siti Wan Kembang, raja yang memerintah Kelantan dari tahun 1610 hingga 1677 itu. Semangat jagoan dan kepimpinan Cik Siti Wan Kembang yang mampu 'hidup tanpa lelaki' bagai ada persamaan dengan Aishah, ibu tunggal beranak lima ini.

"Semangat Cik Siti Wan Kembang kental sekali. Dialah perempuan, 'lelaki' dan hulubalang," ujar Tokoh Maal Hijrah Kelantan 2008 itu lagi yang merupakan wanita pertama di negeri itu yang dianugerahkan gelaran tersebut selepas 50 tahun kemerdekaan.

Kijang

Aishah menyifatkan Cik Siti Wan Kembang sebagai anugerah buat wanita Kelantan. Bunga semangatnya berkembang di sanubari wanita-wanita unggul di negeri itu, termasuk yang menerajui perusahaan dan keusahawanan.

Sememangnya, Cik Siti Wan Kembang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan keseluruhannya. Manakan tidak, Kelantan dan wanita itu begitu sinonim. Bahkan, anak kijang kesayangan Cik Siti Wan Kembang juga diabadikan pada jata negeri Kelantan

Aneh juga, sekian banyak raja lelaki yang pernah memerintah, mengapa nama raja perempuan itu yang sering meniti di bibir sehingga ke hari ini.

Ironinya, tidak ramai generasi baru yang benar-benar mengenali siapakah Cik Siti Wan Kembang.

Kerana misteri yang menyelubungi raja perempuan yang tidak pernah berkahwin itu, Jurnal cuba menyelak kembali lembaran sejarah penting itu.


Menurut buku Detik-detik Sejarah Kelantan karangan Sa'ad Shukri Haji Muda, Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan bermula pada 1610 dan bersemayam di Gunung Chinta Wangsa di Ulu Kelantan (40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai).

Wanita itu merupakan anak kepada Sultan Ahmad (1548-1580M) dengan Che Banun atau Puteri Seri Nara Raja. Semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, rakyat amat menyukainya dan kerajaannya begitu masyhur. Ramai pedagang termasuk orang-orang Arab berniaga di situ.

Nama asalnya ialah Wan Kembang namun pedagang Arab memanggilnya sebagai Paduka Che Siti. Siti merupakan panggilan tuan bagi perempuan. Ada juga yang menyifatkan wanita yang bergelar siti melambangkan seorang wanita yang kaya sifat kewanitaannya.

Cik Siti Wan Kembang banyak menerima pinangan namun baginda menolaknya kerana lebih suka hidup berseorangan. Bimbang penolakan itu mengundang murka, baginda berpindah ke Cherang Tegayong. Di sana, baginda membina tempat yang dinamakan Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong.

Raja Jembal

Kerana tidak mempunyai pewaris takhta, Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong anak kepada Raja Loyor daripada keturunan Raja Sakti (Raja Jembal) yang memerintah di Jembal, satu tempat di negeri Kelantan sebagai anak angkat. Puteri Saadong atau Mariam amat terkenal dengan kecantikan rupa parasnya.

Raja Jembal mempunyai empat orang putera dan tiga orang puteri. Berasaskan salasilah, Sultan Kelantan sekarang, Sultan Ismail Petra mempunyai darah keturunan Raja Jembal. Keturunan Raja Jembal juga diwarisi oleh mereka yang mempunyai gelaran Raja, Tengku, Tuan, Ku, Nik dan Wan.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin, 63, semasa beliau kecil, kisah tentang Cik Siti Wan Kembang cumalah cerita dari mulut ke mulut.

"Tapi kami percaya Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong benar-benar wujud. Ia bukan cerita dongeng, atau legenda," katanya.




Menurutnya, Cik Siti Wan Kembang digambarkan sebagai seorang yang jelita, perkasa dan pendekar. Pada masa yang sama, baginda begitu kuat berpegang kepada agama.

Cik Siti Wan Kembang berjiwa halus dan berhati suci serta berbudi luhur. Baginda telah bertemu seekor anak kijang yang sakit lalu dibela hingga sembuh serta menjadi binatang kesayangannya.

Norhamzah berkata, persatuannya juga percaya Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong merupakan manusia terpilih yang dikurniakan keramat.

"Ada yang menceritakan, Cik Siti Wan Kembang memeluk Islam apabila ajaran Islam dibawa oleh pedagang-pedagang Arab. Sebab itulah namanya Wan Kembang, bukan Wan Fatimah atau Wan Aminah.

"Biasanya individu yang menerima Islam dengan sepenuh hati, tambahan pula dia merupakan seorang pemimpin, membawa hikmah yang besar.

Keramat

"Kami percaya wujudnya unsur luar biasa seperti karomah (keramat) pada insan tertentu dan ia bukan mitos," katanya.

Norhamzah menyifatkan ingatan berpanjangan terhadap wanita itu sehingga kini dan kehilangannya di Gunung Ayam yang dikatakan seperti ghaib sebagai antara ciri keramat.

Satu sumber dari catatan pengembara Islam, Ibnu Battutah menyebutkan terdapat seorang raja perempuan beragama Islam bernama Urduga di Kuala Krai (dalam catatan disebut Kilu Krai). Raja perempuan itu pandai menunggang kuda, memanah dan pandai menulis tulisan Arab. Sesetengah sumber mengatakan Urduga ialah Cik Siti Wan Kembang.

Buku Detik-detik Sejarah Kelantan menceritakan Cik Siti Wan Kembang telah membawa diri ke Gunung Ayam untuk beribadat menghambakan diri sepenuhnya kepada Allah dan kisah hidupnya tidak lagi diketahui.

"Mungkin juga baginda tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan sepenuh jiwanya kepada Tuhan," kata Norhamzah yang melihat persamaan itu dengan wanita sufi, Rabiatul Adawiyah.

Raja Siam

Norhamzah berkata, ada juga pendapat yang mengatakan Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong merupakan orang yang sama.

Ia mungkin kerana persamaan kedua-duanya dari segi perwatakan, unsur keramat serta hayat yang diketahui berakhir di Gunung Ayam.

Puteri Saadong dikatakan mewarisi sifat-sifat keramat ibu angkatnya. Diceritakan bahawa Raja Siam yang ingin mendekatinya ditumbuhi kudis sehingga hanya dapat disembuhkan dengan air telapak kaki Puteri Saadong.

Sumber daripada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Wan Jaafar Jusoh mengakui terdapat beberapa versi sejarah berkenaan Cik Siti Wan Kembang.

Bagaimanapun, Wan Jaafar menolak Cik Siti Wan Kembang ialah Urduga yang diceritakan Ibnu Battutah kerana peristiwa itu berlaku pada 1345, beratus-ratus tahun sebelum hayat Cik Siti Wan Kembang pada 1600-an.


4 comments:

  1. slame ni aku dgr org sebut name die. rupanye ini sejarah pasal die. aku x taw pon. yg aku taw die dr klantan. hehe...

    ReplyDelete
  2. klik digi. btw tak tahu pulak aku yang kelantan ada RAJA bernama cik siti wan kembang. nama dia pernah la dengar. fakta menarik ni bro!

    ReplyDelete
  3. Owh.. baru tahu. thanks for the info. :)

    ReplyDelete
  4. jalan2 sini..kasih ade keturunan cik siti wan kembang..my nenek punya moyang adalah sepupu kepada cik siti wan kembang..

    ReplyDelete